corat-coret

Friday, November 11, 2011

SEMUA DI DUNIA HANYA PINJAM-PINJAMAN TERMASUKLAH KASIH SAYANG SUAMI...



Dipetik dari: Buletin Rakyat 1 November 2011.

Kenapalah Puan H ni berasa remuk redam pula bila bekas suaminya berkahwin lain? seharusnya Puan H bersyukur kerana 'dilepaskan' oleh suami tidak bertanggungjawab itu. Kisah Puan H dibelasah, disepak terajang dan tidak diberikan nafkah oleh bekas suami bukannya isu dalam kelambu sebaliknya sudah diketahui kebanyakkan jiran tetangga. Malah satu kariah masjid sudah tahu sikap panas baran bekas suami Puan H yang tidak bertanggungjawab itu.
Sekarang ini bekas suami sudahpun berkahwin dengan wanita lain biarkanlah.Buat apa Puan H mahu bersedih-sedih hati pula? Sudah banyak kali juga Che Bedah nasihatkan mana-mana isteri di ruangan ini jangan sangka dunia mahu kiamat bila sudah diceraikan oleh suami yang tidak bertanggungjawab. Memang Che Bedah akui, hati isteri atau wanita cukup lemah mahu melupakan nostalgia ketika melalui kehidupan berumah tangga bersama suami. Tetapi kalau suami yang diharap-harapkan mampu memberikan kebahagiaan itu berlaku sebaliknya tak kisahlah kalau jodoh setakat itu saja. Tak perlulah Puan H mahu frust menonggeng atau cuba meraih simpati bekas suami. Tak perlulah bekas isteri meluahkan perasaan dalam facebook atau twitter sekalipun. Suami tetap akan kahwin juga.
Cepat sangat Puan H mahu melupakan peristiwa dibiarkan suami semasa mahu melahirkan anak ketiga dahulu. Mujur ada jiran tetangga baik hati membantu menghantar ke hospital. Selepas habis edah baru nampak wajah suami. Tidak berapa lama kemudian,datang surat bank memberitahu duit ansuran rumah atas nama Puan H sudah tiga bulan tidak berbayar lantaran bekas suami gunakan duit berkenaan buat bayaran deposit kereta baru teman wanitanya. Mujur jugalah Puan H mempunyai barang kemas yang digadaikan untuk membayar ansuran rumah.
Kalau diikutkan hati bukan sedikit siri penderaan emosi bekas suami kepada Puan H tidak boleh dilupa atau meninggalkan parut di hati bekas isteri. Bagaimanapun teman wanita bekas suami menunjukkan sikap biadap serta sanggup datang ke rumah Puan H mengarahkan suami Puan H membuat pilihan samada dirinya atau isterinya. Tidak cukup itu bekas suami membuat ugutan dengan mengada-adakan cerita buruk Puan H kepada teman sepejabat termasuklah mereka-reka cerita fitnah kononnya Puan H melakukan perkara sumbang dengan lelaki lain. Apakah Puan H tidak ingat semuanya itu?
Kini kisah bekas suami Puan H sudah berkahwin dengan teman wanitanya sudah lima tahun berlaku. Kebetulan ketika Che Bedah pergi membeli belah terserempak dengan Puan H sedang menolak troli. Katanya, sejak kejadian Che Bedah menasihatkannya lima tahun lalu maka dia memasang impian dan cita-cita untuk terus membuang kenangan silam semasa hidup dengan bekas suaminya itu. Katanya, benar kata-kata Che Bedah bahawa semua di dunia ini hanya pinjam-pinjaman semata-mata termasuklah bekas suaminya itu. Kalaupun bekas suaminya itu tidak berkahwin lain sudah tentu suatu hari nanti bekas suaminya itu akan kembali kerahmatullah meninggalkan dirinya dan anak-anak juga.
Maka Puan H bertekad untuk membesarkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang tanpa mengharapkan sesen pun daripada bekas suaminya itu. Kata Puan H lagi, buat apa dibuang masa memikirkan bekas suaminya itu sudah berkahwin lain.Dia bukannya ibu tunggal ketinggalan zaman dan mempunyai sedikit kemahiran boleh digunakan untuk mencari nafkah anak-anaknya itu. Dia juga masih mempunyai ibu bapa dan adik beradik lainnya sentiasa memberikan perangsang dan dorongan dalam hidupnya. Dia juga mempunyai jiran tetangga sentiasa bertanyakan khabarnya. Lebih lagi kejayaan Puan H berjaya melupakan bekas suami lantaran sentiasa mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Dia meluahkan perasaannya panjang lebar dengan Che Bedah sehinggakan Che Bedah rasa kembang hati dengan prinsip Puan H itu. Che Bedah lihat wajahnya cukup tenang dan bibirnya sentiasa basah menceritakan tentang kebesaran Allah taala mengatur hidupnya jadi begitu.
Tambahnya lagi, baru-baru ini adalah bekas suami memberitahu anak-anaknya tentang hutang piutangnya keliling pinggang. Bekas suami mengakui hidupnya tidak bahagia lantaran isteri keduanya itu suka hidup bermewah-mewah dan terlalu cemburu. Bekas suami turut memuji Puan H pandai mengambil hati dan sentiasa sabar menghadapi karenah dan sikap panas barannya itu. Lalu tanya Che Bedah adakah Puan H akan merujuk semula dengan bekas suaminya itu. Lantas apa kata Puan H," cukup-cukuplah saya melalui kehidupan bersamanya dahulu. Saya tidak mahu peristiwa lama berulang semula dalam kehidupan kami. Buat masa ini biarlah saya memberikan tumpuan kepada pendidikan anak-anak terlebih dahulu. Bukan disebabkan saya tidak mempunyai nafsu tetapi jiwa saya lebih tenang bila mengingati Allah taala."
Bagi Che Bedah kepada isteri-isteri di luar sana akuilah hakikat jika tidak disayangi dan dicintai oleh suami lagi.Bukan semua wanita rela dirinya dipoligami. Kalau tidak bersedia untuk berkongsi kasih jalan sebaik-baiknya adalah memutuskan ikatan suami isteri tersebut. Ini lebih baik lagi dari hidup makan hati berulamkan jantung kerana cemburu dan sakit hati. Bagi Che Bedah semua di dunia hanya pinjam-pinjaman termasuklah kasih sayang lelaki bernama suami.....

No comments:

Post a Comment